Search:    
Advanced Search   
Posted: Saturday 19 December 2009 - 7 comment(s) [ Comment ] - 0 trackback(s) [ Trackback ]
Category: permotoran

Jangan pandang kami sebelah mata!

Dalam acara tersebut, Lovella muncul juara bagi kategori Campro yang telah diubah suai manakala Suhaily mendapat tempat ketiga bagi kategori Campro Standard.

alt
 


Deruman enjin kereta yang memecah kesunyian di sebuah kawasan terpencil di Persiaran Cyberjaya memaksa penonton menutup telinga. Kelihatan sederet kereta sudah bersedia di garis permulaan untuk membuat pecutan bagi menentukan siapa yang paling hebat.

Sepanjang jalan yang ditutup khas bagi acara MUSC Drag Challenge 2009 itu, kereta-kereta lumba berbaris menunggu giliran. Para pemandu begitu teruja untuk mempamerkan skil dan kemampuan masing-masing dalam pemanduan laju.

Di celah-celah deretan kereta itu, terdapat kelibat dua wanita yang berlegar di bawah terik matahari sambil mengipas diri untuk mengurangkan bahang panas di badan. Ia mungkin pandangan yang biasa dan tidak mustahil jika ada yang menganggap mereka ialah penonton dan hanya memberikan sokongan kepada teman.

Namun, hakikatnya Lovella Ng Francisco, 24, dan Suhaily Mohd Jai, 33, merupakan peserta antara lebih 20 kereta yang bertanding bagi kategori enjin Campro. Sudah tentu mereka menjadi perhatian dan giliran mereka untuk berlumba dinantikan penonton.

Lovella yang mempunyai perniagaan dobinya sendiri memberitahu, dia mula berminat dalam perlumbaan kereta sejak tiga tahun lalu. Segalanya bermula di Litar Batu Tiga, Shah Alam, Selangor. Kereta pertama yang dimilikinya ketika itu adalah Nissan Turbo SR20.

Tidak lama kemudian, Lovella mula berminat untuk menceburi kategori Campro. Dia memilih Gen2 yang telah diubah suai khas untuk memasuki pertandingan seperti itu.

alt
DERETAN kereta berenjin Campro bersiap-sedia untuk memulakan MUSC Drag Challenge.


Bagi Suhaily pula, dia sememangnya meminati kelajuan dalam pemanduan kereta. Minat itu bertambah setelah bertemu dengan suaminya, Shaifulnizam Kamarudin iaitu pemilik sebuah bengkel DoriDori Auto Works. Suaminya memberi galakan untuknya menyertai pertandingan seperti drag. Drag adalah perlumbaan kelajuan dan daya pecutan pada trek lurus sejauh 400 meter.

Bermula dengan perlumbaan go-kart anjuran tempat Suhaily bekerja dan atas galakan suami, dia menyertai kategori wanita dan menjadi juara.

Melihat Lovella dan Suhaily, tiada bezanya mereka dengan wanita lain. Mereka sedikit pun tidak mempamerkan sisi kasar pada fizikal. Malah kipas dan payung tetap menjadi teman sepanjang acara. Cuma yang membezakan mereka adalah ketika mereka menekan pedal minyak dan mengawal stereng kereta yang sedang dipandu laju.

Dalam acara tersebut, Lovella muncul juara bagi kategori Campro yang telah diubah suai manakala Suhaily mendapat tempat ketiga bagi kategori Campro Standard. Kejayaan mereka telah membuka mata lelaki dan mengingatkan kaum itu supaya jangan memandang rendah kepada kebolehan wanita dalam pemanduan kenderaan. Walaupun pertandingan itu menerima hanya dua wakil wanita, namun mereka berjaya menempatkan diri dalam tangga kemenangan.

"Sudah tentu apabila orang melihat perempuan berlumba, mereka akan mempertikaikan kemampuan sama ada boleh menyaingi lelaki atau pun tidak. Kalau kita terlalu memikirkan mengenai gender ketika berlumba, memang rasa kecut juga. Apa yang penting, tumpukan sepenuh perhatian dan lakukan yang terbaik," katanya.

Menurut Lovella, kepuasan utama dalam perlumbaan adalah kelajuan memecut sesebuah kereta dan yang paling penting adalah kemenangan. Sudah tentu, kejayaan mengalahkan lelaki dalam bidang yang dikuasai itu memberi kepuasan dan keseronokan kepada mereka.

alt
 


Lovella belajar memandu kereta (untuk berlumba) dengan usahanya sendiri di samping mendapat bantuan daripada teman-teman yang lebih berpengalaman. Baginya, skil pemanduan harus didalami sendiri dengan mencuba. Dengan itu, barulah kita boleh mengetahui sama ada kita berupaya berlumba atau tidak. Apa yang penting adalah keberanian.

"Sebenarnya, keluarga agak bimbang apabila saya menyatakan hasrat untuk berlumba. Namun, akhirnya keluarga memberi sokongan penuh terhadap aktiviti yang saya minati ini.

"Mereka sering menasihatkan saya supaya tidak terlibat dengan lumba haram. Nanti tak pasal-pasal masuk lokap," katanya sambil ketawa.

Lovella juga pernah mendapat tawaran untuk memandu kereta lumba di litar namun minatnya hanya pada drag. Mereka yang meminati sukan pemotoran seperti drag biasanya mempunyai sebuah kereta khas untuk tujuan itu. Bagi tujuan kegunaan harian pula, mereka akan menggunakan kereta yang lebih mesra dengan jalan raya di Malaysia.

Ini kerana kereta yang digunakan dalam perlumbaan drag mempunyai nisbah gear yang pendek, ekzos yang berlainan dan aksesori seperti pelekat di seluruh kenderaan.

alt
 


Berlainan bagi Suhaily. Dia yang memandu Satria Neo menggunakan kereta yang sama untuk kegunaan harian dan juga untuk berlumba. Ini kerana dia memasuki kategori standard dan tiada perubahan major yang dilakukan pada keretanya.

"Setiap kali ada perlumbaan, barulah saya pasang aksesori tambahan seperti ekzos dan pelekat pada kereta. Saya pastikan pelekat itu tidak keterlaluan supaya saya boleh memandu di atas jalan raya tanpa gangguan.

"Selepas tamat acara, saya akan tukar balik keadaan kereta seperti biasa," katanya sambil memberitahu semuanya dilakukan di bengkel milik suaminya, DoriDori Auto Works.

Suhaily memberitahu, dia pernah ditahan oleh anggota polis kerana bunyi ekzos yang agak kuat. Kejadian itu berlaku sehari sebelum perlumbaan diadakan. Dia terpaksa memandu kereta itu di jalan raya kerana pada hari itu, tidak ada kereta lain yang boleh dipandu ke tempat kerja.

alt
PARA pemandu begitu teruja mempamerkan skil dan kemampuan masing-masing.


Apabila tingkap kereta dibuka, pihak polis terkejut kerana yang memandu kereta itu ialah seorang wanita.

"Saya terpaksa menjelaskan kepada polis tersebut bahawa saya ada perlumbaan pada keesokan hari dan semua aksesori pada kereta ini akan dibuka selepas tamat acara.

"Saya juga menunjukkan lesen perlumbaan. Lesen ini mengesahkan bahawa saya memang terlibat dengan acara perlumbaan atau pertunjukan automotif. Semua pelumba akan memiliki lesen tersebut," katanya.

alt
SUHAILY (kiri) dan Lovella (kanan) membuka mata masyarakat dengan menyertai pertandingan lumba kereta.


Baginya, berlumba di litar memberikan kepuasan kerana dia tidak perlu risau tentang gangguan daripada pihak berkuasa untuk memandu laju sekali gus tidak mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

Suhaily mengesyorkan kepada wanita yang berminat menceburi bidang perlumbaan untuk mencuba drag kerana ia kurang berbahaya berbanding dengan sukan pemotoran yang lain.

Katanya, risiko kemalangan hanyalah satu peratus dan apa yang penting adalah pergi ke saluran yang betul iaitu menyertai perlumbaan di litar untuk mendapatkan kepuasan.

Delicious Digg Facebook Fark MySpace